3 Kesilapan Ibubapa Patut Elak Dalam Mendidik Anak





PERTAMA: MENGGUNAKAN BAHASA YANG TIDAK ELOK.

Lisan tidak akan lurus, selagi hati tidak menjadi lurus. Apa yang terluah pada lisan biasanya mencerminkan hati seseorang. Kesilapan besar yang dilakukan oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak adalah menggunakan bahasa yang kurang elok dan kesat.

Perkara yang didengari oleh anak-anak, memberi pengaruh kepada peribadi mereka. Sekiranya kita selalu mengucapkan kata-kata yang negatif dan tidak elok, maka anak kita akan menjadi insan yang negatif dan tidak sebaik yang kita harapkan. Sekiranya kita mengucapkan kata-kata yang positif dan mempunyai nilai yang tinggi, anak-anak yang mendengarnya akan menyerap elemen-elemen positif tersebut seterusnya melahirkan anak-anak yang positif.



Pengalaman saya bertemu dengan anak-anak yang mempunyai masalah tingkah lalu dan lisan yang tidak elok, saya mendapati mereka sering menjadi tempat meluahkan kata-kata kesat oleh ibubapa mereka. Apabila ibubapa mereka marah, pelbagai kata-kata yang tidak elok dilontarkan kepada anak.

Ibubapa sewajarnya menjadi contoh teladan yang baik. Mereka adalah ikutan pertama anak-anak. Ada banyak perkataan yang baik dan sopan wujud dalam kamus, mengapa memilih perkataan yang kesat dan kasar?


KEDUA: TIDAK MEMPUNYAI PERANCANGAN.

Untuk berjaya dalam mendidik anak, ibubapa harus mempunyai perancangan dalam mendidik anak. Apakah pendidikan yang ingin diajarkan kepada anak? Apakah pencapaian yang diinginkan daripada anak? Apabila anak mencapai usia baligh, apakah perkara yang perlu diketahuinya? Dan pelbagai lagi perkara.

Pernah saya menonton sebuah rancangan di TV yang disampaikan oleh seorang ustazah. Dalam rancangan tersebut beliau telah menunjukkan satu panduan yang menarik bagi ibubapa dalam perancangan mendidik anak-anak. Iaitu dengan cara ibubapa menetapkan perancangan dan pencapaian bagi anak-anak bagi peringkat umur tertentu. Sebagai contoh, pada usia 6 tahun, anak-anak mula diajarkan cara membaca al-Quran dan mampu membaca al-Quran ketika berusia 7 tahun. Apabila anak berumur 9 tahun pula, ibubapa mensasarkan anak sudah menghafal surah-surah lazim yang terdapat dalam al-Quran.

Gagal untuk merancang, ertinya merancang untuk gagal. Ramai ibubapa gagal melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, kerana mereka tidak pernah mempunyai perancangan bagi anak-anak mereka. Apa yang mereka fikir hanya menyediakan keperluan seperti makanan, pakaian dan benda-benda material sehingga terlupa berkaitan pendidikan anak-anak menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

Ingin saya jelaskan juga, membuat perancangan dalam mendidik anak-anak bukanlah bererti kita yang menentukan segalanya untuk anak-anak, sehingga anak-anak hanya mengikut telunjuk kita dan tiada peluang buat keputusan. Bukan begitu. Merancang dalam mendidik anak-anak boleh juga bermaksud kita memberi ruang dan peluang kepada anak-anak membuat keputusan, manakala kita pula sebagai pembimbing dan pendorong mereka agar membuat keputusan dan pilihan yang betul.
 

KETIGA: TIDAK MELUANGKAN MASA YANG SECUKUPNYA DENGAN ANAK.

Kasih sayang tidak diukur dengan jumlah wang ringgit yang diberikan. Kalau pun kita diberikan RM100 ribu oleh seseorang, belum tentu orang yang memberi itu mempunyai perasaan kasih sayang yang kuat terhadap kita. Boleh jadi dia memberi kerana kepentingan diri atau terpaksa atau lain-lain sebab.

Justeru, apakah pengukur kasih sayang sesama manusia?


Jawapannya, kasih sayang diukur dengan masa yang diluangkan. Memang anak memerlukan wang ringgit dalam kehidupan sebagai nafkah, tetapi apa yang lebih penting daripada itu adalah kasih sayang. Petanda kasih sayang itu adalah jumlah masa yang diluangkan bersama seseorang. Semakin banyak masa yang kita luangkan bersama anak-anak, maka akan semakin mereka rasa disayangi. Semakin kurang kita meluangkan masa bersama anak-anak, mungkin mereka akan merasa kita kurang memerlukan mereka dalam kehidupan mereka.

Hari ini ramai anak-anak terlibat dengan gejala sosial dan kerosakan akhlak, kerana mereka tidak mempunyai ibubapa yang meluangkan masa bersama mereka untuk memandu mereka dalam membina kehidupan. Justeru mereka menghabiskan masa banyak dengan kawan, lalu di antara kawan mereka itu pula ada yang mendorong anak ke jalan tidak baik lantas menjerumuskan mereka ke lembah kebinasaan.


JADILAH IBUBAPA YANG BERILMU.

Dalam mendidik anak yang soleh dan solehah, ibubapa sewajarnya mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu pengetahuan yang betul, matlamat untuk melahirkan anak-anak yang berguna dan mempunyai nilai tinggi tidak akan tercapai. 

Boleh jadi ibubapa itu melakukan perkara yang disangkanya betul dalam mendidik, sedangkan ia adalah perkara yang salah dalam mendidik anak. Misalnya, ada ibubapa berhasrat agar anak-anaknya menjadi individu yang sopan tutur katanya, tetapi setiap kali marah ibubapa itu jugalah yang meluahkan kata-kata kesat kepada anak-anaknya. Akhirnya cita-cita untuk melihat anak membesar menjadi insan yang berguna menjadi jauh daripada realiti. Wallahu a’lam.


Mahukan Anda Tahu Lebih Informasi Cara Mendidik Anak Anda Dengan Berkesan?